Khamis, 9 Disember 2010
CINTAKU PADA SENI
Beliau pernah ke China, Jepun, India, Turki, Sepanyol, Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain cuma atas dasar menyebarkan seni Melayu melalui Ghazal. Sebagaimana didalam post-post yang lalu, Arwah juga telah masuk keseluruh Istana-istana di Malaysia bagi meraikan majlis-majlis yang dianjurkan. Bayaran bukan faktor utama. Pernah ditanya semasa sessi temuramah TV3 berkaitan royalti dan cetak rompak, apa yang beliau katakan, sekiranya beliau terlalu berkeras dengan penyebaran cetak rompak mungkin musik beliau tidak dapat didengar oleh orang ramai dan orang kebanyakan memandangkan orang-orang kampung tidak mampu membeli kaset-kaset pada ketika itu yang agak mahal. Lebih beliau Halalkan saja.
Apa perlu kita fikirkan? Bahawa bagi menyebarkan musik Ghazal amat sukar disebabkan masyarakat kita sendiri tidak ada rasa hormat terhadapnya. Media-media elektronik mahupun cetak langsung tidak memainkan peranannya membudayakan seni yang unik ini. Salah siapa? Ahli politik juga langsung tidak mengendahkannya. Malahan ahli politik dari Johor sendiri tidak kisah dengan senario ini. Bagi mengambil hati orang muda belia maka mereka juga terikut-ikut dengan budaya belia ini, tetapi dalam masa yang sama mereka inginkan jati diri melayu diserapkan. Mana mungkin ini akan terjadi, budaya barat diserapkan pada generasi ini, maka baratlah yang akan menempahkan budaya mereka. Bercakap pasal secara holistik, tetapi perlaksanaan tidak.
Seni budaya melayu Johor perlu ditingkatkan dengan penglibatan semua anak jati warga Johor sendiri. Kenapa Dikir Barat boleh dikekalkan bukan saja di Kelantan malahan di Lembah Kelang sendiri budaya ini masih kekal. Fikir-fikirkan lah.
Selasa, 26 Januari 2010
Selasa, 4 November 2008
AHMAD YUSOH DAN PENGANUGERAHAN
Apalah Melaka ni. Filem yang dilakonkan oleh SRK tak berapa lakupun. Itupun yang tengok masyarakat India dan sikit-sikit rantau Asia terutamanya Malaysia. Yang mempromosikan Melaka adalah TDC. SRK hanyalah pelakonnya saja, pengarah filem yang pilih lokasi. Tak beri pulak kat pengarah. Apa-apa pun selamat maju jaya kat Melaka yang buat masa ni pemberi anugerah Datuk terbanyak setiap tahun.
Bebalik kepada cerita Penganugerahan. Rasa-rasanya yang ada menerima penganugerahan bidang Asli dan Ghazal ni hanyalah Tan Sri SM Salim dan yang terbaru Datuk "Pak Ngah" Suhaimi Mohd Nor. Yang lain-lain tak de. Rosiah Chik, Hamzah Dolmat, Ahmad Yusoh, Fadzil Ahmad, Pak Lomak, Zainurin Mad Dom, Maznah Ali, Kamariah Noor, Orkid Abdullah. Walhal, Ahmad Yusoh dan Fadzil Ahmad telah menjelajah seluruh dunia mempromosikan Malaysia dengan Kementerian Kebudayaan. Mereka pernah ke China, Jepun, Itali, Sepanyol, Bangkok, Brunie, Singapura, Indonesia, Austrialia, Turki, England, India dan lain-lain. Ahmad Yusoh sendiri pernah menjadi Pensyarah Tamu di Universiti Indonesia. Mereka-meraka ini bukan sahaja penyanyi, pencipta, komposer dan penerbit. Ahmad Yusoh pernah berlakon di drama-drama TV. Malangnya karyawan dibidang Asli dan Ghazal kurang sambutan. Mungkin pada zamannya orang tak kisahpun. Walaubagaimanapun beliau pernah menerima Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) dari Yg DiPertuan Agong. Begitu juga dengan Fadzil Ahmad ada menerima pingat yang tidak membawa sebarang gelaran.
Dokumentari mengenai mereka-mereka ini yang berjaya pun tak pernah ada. Kenapa Ya? Bagusnya kini ada ASWARA. Insyallah berkat kekuatan adanya badan ini dapat memperjelaskan kepada masyarakat bertapa pentingnya budaya dikekalkan. Tengok saja Jepun, China, Korea. Mereka berjaya bukan dengan memporak-perandakan budaya mereka. Tetapi keteguhan jati diri budaya memperkukuhkan kedudukan mereka dimata dunia.
Isnin, 20 Oktober 2008
AHMAD YUSOH DAN "DENDANG ANAK"
Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ahmad Yusoh. Tajuk asal diberikan nama Dodoi Anak. Dan pernah dirakamkan semasa Ahmad Yusoh masih bekerja dengan Syarikat Feri Penambang Muar. Mengikut cerita lagu ini dicipta semasa beliau baru sahaja mendapat anak. Disebabkan kasihnya beliau pada anak-anak yang akan lahir beliau ciptakan lagu sebagai pesanan sebagai satu wasiat. Lagu asal tersebut dirakamkan bersama Sri Penambang Ghazal Muar. Kemudian lagu ini ditukar tajuknya kepada Dendang Anak dengan melodinya diperkemaskan lagi dengan peralatan yang lebih mantap. Lagu ini pertama diperdengarkan semula semasa pertandingan Dendang Rakyat yang pertama 1973 dimana Sri Maharani Ghazal menjadi Juara Ghazal. Nampak tak sedikit sebanyak tajuk tersebut dengan kaitan nama pertandingan?
Walaubagaimanapun bait-bait lagu ini amat memberi kesan yang positif kepada anak-anak beliau dimana kelima-lima anak beliau telah mendapatkan ijazah dimenara gading diluar negara dan bekerja samada swasta mahupun kerajaan dengan jawatan-jawatan tinggi. Lagu ini mungkin boleh diibaratkan sebagai Doa beliau kepada anak-anak.
"Dendang Anak Dendanglah Manja, Lekas Besar Membuat Jasa"
"Wahai Anakku Sayang" "Buatlah Yang Baik Sayang Kepada Negara"
"Semogalah Berkekal Sayang Tanah Pusaka, Wahai Anakku Sayang"
Lagu ini pernah juga dirakamkan semula oleh Noranizah Idris. Kalau kita perhatikan betul-betul bait-bait liriknya, betapa beliau pada ketika itu sekitar lewat 50an atau awal 60an terlalu teruja mewasiatkan kepada anak-anak beliau bahawa sekiranya kita tidak berhati-hati maka tergadailah tanah pusaka atau kontek yang lebih luas negara kita Malaysia. Almaklumlah beliau sempat merasa betapa peritnya hidup semasa penjajahan Inggeris dan Jepun. Betapa risau dan sayangnya beliau dengan tanah pusaka. Beliau yang pernah merasakan perit jerih tenaga empat kerat susahnya hendak memiliki harta. Zaman tersebut, upah sebagai penghibur hanya cukup untuk hari itu sahaja, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hiburan dan upah menyanyi hanyalah dirumah-rumah kenduri kahwin. Bayaran kurang RM100 dan dibahagi sampai 10 orang. Kenderaan bayar sendiri. Kalau rezeki baik, tuan rumah bekalkan nasi dan lauk untuk dibawa balik.
Sekiranya kita pandai, maka sewajarnyalah kita memberi khidmat kepada tanahair kita tanpa sibuk dengan fahaman politik yang menyonsangkan. Asalkan niat ikhlas, kita tetap dapat berbakti atau membuat jasa kepada negara. Kan cantik nasihat beliau kepada anak-anaknya. Ada ke lagi ibubapa nasihatkan begini ya? Kalau adapun mungkin, belajar rajin-rajin nanti kau akan kaya. Cari duit banyak-banyak, jadi jutawan, hartawan dan lain-lain. Untuk nasihat berbakti kepada Negara rasanya tidak kot.
Beliau ada juga merakamkan satu lagu lagi dengan rentak keroncong menasihatkan anak-anak beliau pada ketika itu seorang demi seorang berangkat untuk melanjutkan pelajaran keluar negara. Tetapi lagu ini agak jarang kedengaran keudara walaupun agak baik melodi dan liriknya. Mungkin sedikit ekslusif kot. Mungkin dikesempatan lain boleh kita renung-renungkan.
LAGU GHAZAL DAN ISINYA
Banyak lagu-lagu yang dicipta terutama oleh Ahmad Yusoh dan Sri Maharani Ghazal berkisar alam semesta, agama, bangsa dan tanahair. Lagu-lagu seperti Gunung Soga, Selat Teberau, Tanjung Mas, Tanjung Ketapang, Sri Mahligai, Pasir Roboh, Kuala Kubu, Sembawa Balik, Tampi Padi, Hari Ribut, Sri Kedah, Sri Kelantan, Sri Johor, Bukit Piatu, Mak Long, Nasib Pengail, Si Dia Datang, Pak Ngah Balik, Ayam Didik, Iman, Pungguk Memuja, Pantun Budi, Pantun Islam, Dendang Anak, Empat Dara, Betik Manis, Sri Mersing dan banyak lagi diantara lagu-lagu yang agak kerap dikeudarakan pada zamannya. Pencipta seperti Pak Lomak banyak mencipta pada awal zaman Ghazal diperkenalkan.
Dari tajuk-tajuk lagupun kita sudah dapat mengagak bahawa pastinya lirik-lirik tersebut sedikit sebanyak akan mengutarakan unsur-unsur nasihat. Misalnya lagu Ayam Didik nyanyian Zainurin Md Dom ciptaan Ahmad Yusoh, bait liriknya "semasa pemerintahan jepun, kita makan ubi dengan keledek, hidup kita tonggang terbalik". Sesiapa yang pernah mengalami zaman penjajahan Jepun mestinya amat membenci keadaan dizaman penjajahan yang zalim itu.
Lagu Tampi Padi, tahu tak maknanya tampi? Orang dulu-dulu bila nak dapatkan beras perlulah menampi padi dalam bakul atau bekas besar yang khas. Selalunya aktiviti ini dilakukan di tengah-tengah bendang. Tampi ni selepas padi dipukul, kita perlu menampi bagi mengasingkan beras yang telah tertanggal padi kulitnya. Atau kata lain menayak. Zaman sekarang semuanya dibuat dikilang, dengan hasilnya lebih cepat dan bersih.
- Tampilah tampi Padi Mahlinja
- Elok Perangai Kita Disuka
- Tampilah Tampi Padi Mahsuri
- Meninggi Diri Orang Tak Sudi
Terlalu banyak isi-isi lagu-lagu Ghazal yang berunsur nasihat dan teladan. Diharapkan ada pihak-pihak yang tersedar perlu mengambil inisiatif yang lebih agresif sebelum ianya menjadi parah. Kalau kita setakad menceritakan jati diri, tanpa kuatkuasa yang berterusan maka perkara-perkara sebegini akan hanya tinggal angan-angan.
AHMAD YUSOH DAN "EMPAT DARA"
Lagu ciptaan asal oleh Atan Penambang/Ahmad Yusoh dan lirik oleh Ahmad Yusoh sendiri. Lagu ini berkisar empat orang anak dara. Ianya digambarkan memandangkan bandar Muar adalah berlokasi ditepi sungai dan kuala sungai Muar. Diperkuatkan lagi mereka berdua yang mencipta melodinya berkerja dengan syarikat Feri Penambang Muar yang sentiasa bermain dengan sungai. Sedikit sebanyak berkaitan bahawa Ahmad Yusoh yang tampan, kacak dan segak semasa muda digilai ramai anak-anak dara dizamannya. Apatah lagi dengan kemahyuran beliau sebagai artis, penyanyi, pemuzik dan pelakon bangsawan. Dari pengalaman beliaulah sendiri maka tercetuslah keresahan mencari pasangan hidup kerana terlalu ramai yang memuja yang perlu dipilih. Cuba kita teliti bait-bait pantun lagu ini hasil nukilan Ahmad Yusoh sendiri.
- Empat Dara Duduk DiTepi Sungai
- Duduk Menjerat Seketamlah Batu
Almaklumlah disungai Muar pada ketika itu, kalau airnya surut, kita akan dapat melihat banyak hidupan-hidupan sungai dan laut. Ketam, kupang, tiram, kerang, udang galah, belodok, belangkas dan lain-lain sangat banyak. Kini dah pupus akibat pencemaran air dan sisa industri disebelah Tanjung Agas banyak kilang-kilang industri. Jadi beliau berkias dengan apa yang sedang dilakukan oleh keempat-empat gadis atau orang dulu-dulu di Muar ni panggil anak dara.
- Baik Budi Eloklah Perangai
- Sukar Dipilih Yang Manalah Satu
Nak cari jodoh pasangan yang terbaik memanglah sukar. Dulu, kini dan selamanya pun akan mengalami kesukaran. Siapa tahu disebalik wajah yang cantik kemungkinan tidak mempunyai budi perkerti yang elok.
- Empat Dara Berpakaian Sedondon
- Berbaju Putih Berkainlah Biru
- Pandai Mengarang Seloka Dan Pantun
- Sekali Pandang Rasa Tak Jemu
Diharap lirik Empat Dara ini menjadi ikutan gadis-gadis melayu sekarang sebagaimana TV9 cuba mengetengahkan mertabat gadis melayu yang sepatutnya ada unsur-unsur tradisi. Syabas TV9. Namun begitu kita harus memberi pujian kepada Ahmad Yusoh yang telah secara langsung merakamkan idea bahawa anak-anak dara melayu sepatutnya mempunyai ciri-ciri kemelayuan yang tersendiri dengan sifat-sifat sopan santun, berbudi perkerti, senyuman menawan, baik budi, pandai dan sebagainya.
Selasa, 14 Oktober 2008
AHMAD YUSOH DAN GHAZAL
Ahmad Yusoh dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Kelantan, Muar, Johor pada tanggal awal 1930an. Tarikh yang tepat orang dulu-dulu tidak dapat disebabkan faktor pendaftaran kad pengenalan yang tidak secanggih atau semudah sekarang. Biasanya ia akan berkaitan dengan faktor bila nak bersekolah barulah faktor nama dan pendaftaran jadi penting. Maka timbullah tarikh dan tahun yang tidak tepat kerana tiada siapa yang benar-benar ingat. Almaklumlah dengan penjajahan, perang dan lain-lain.
Kampung Kelantan dinamakan atas sebab ramainya penduduk di kampung ini berasal dari negeri Kelantan. Mereka ini berhijrah semasa penjajahan dimana serba sedikit berkaitan penjajah mencari keturunan Tok Janggut, Tok Jambul dan konco-konconya. Dalam pelarian tersebut ada yang bermukim disini. Fakta ini harus diselidiki sejarahnya. Mungkin betul?
Ahmad Yusoh adalah anak sulung kepada Yusoh Bin Taib dan Fatimah Binti Wan Ali. Mereka ini boleh dikatakan golongan bangsawan dan terhormat di kampung ini. Ayahnya yang lebih dikenali sebagai Pak Jusoh adalah seorang pawang yang dihormati. Maklumlah ketika itu bermain Petri (musik yang masih digunakan di Kelantan kini bagi berubat dengan penyakit berkaitan semangat) adalah satu medium berubat. Dari situlah minat beliau tumbuh walaupun mendapat tentangan Ayahnya.
Semasa kecil beliau banyak berkawan dengan sepupu-sepupu beliau walaupun beliau agak muda umurnya. Ketapanan dan perwatakan yang baik menyebabkan ramai yang menaruh hati terhadap beliau. Faktor ini yang selalu digunakan rakan-rakan sebaya beliau sekiranya nak mengacau anak-anak dara kampung. Rakan-rakan terapat beliau seperti Pok Su Seman dan Pak Andak adalah rakan sepermainan beliau apabila waktu senggang. Disebabkan beliau agak pandai semasa bersekolah, beliau dihantar ke sekolah Inggeris. Cuma beberapa bulan saja, Jepun menyerang maka terbantutlah persekolah beliau.
Kerana minat dengan musik, Ahmad Yusoh telah merantau ke Singapura, Kuala Lumpur dan Batu Pahat. Ahmad Yusoh pernah belajar musik dengan Pak Lomak, Hamzah Dolmat dan ramai lagi. Disebabkan ini beliau boleh bermain pelbagai peralatan musik, mahupun tradisi ataupun moden. Semasa bertugas dengan Syarikat Penambang Muar, beliau telah menunjukkan kebolehan bermain kesemua peralatan musik dengan cekap dan disinilah terciptanya nama "MatGodak". Bagi orang-orang Johor dan terutamanya orang Muar, GODAK bermakna campur aduk macam rojak. Semuanya boleh. Semuanya campur. Mat adalah nama singkatan beliau kepada Mohamed. Ahmad Yusoh boleh bermain peralatan musik dengan tangan kanan atau kiri tanpa mengubah kedudukan tali peralatan tersebut misalnya gitar, biola, gambus dan lain-lain. Selain kepandaian bermain musik, Ahmad Yusoh juga mempunyai suara yang merdu. nyanyian beliau pasti mendebarkan gadis-gadis yang mendengar. Bayangkan dizaman 40an dan 50an pentas persembahan ada yang roboh disebabkan tolakan dan ketaksuban anak-anak muda-mudi dizaman tersebut. Kalau tak percaya cuba dengar nyanyian beliau terutama lagu-lagu yang terawal seperti Betik Manis, Makan Sireh, Empat Dara, Selat Teberau dan sebagainya.