Khamis, 9 Disember 2010

CINTAKU PADA SENI

Agak tersinggung juga bila mendengar keluhan-keluhan para karyawan kini dari MACP, Prism, Karyawan, Seniman dan persatuan-persatuan yang lain. Masalah kutipan royalti, duit bayaran dan yang lain-lain berkaitan wang selalu jadi topik perbalahan. Seingat-ingat aku, Arwah Pak Mat (Ayahku) tidak pernah dia kecohkan pasal benda ni semua. Minatnya kepada seni bukan dapat dinilai dengan wang ringgit. Arwah telah merantau seluruh negeri dan negara atas jemputan badan kebudayaan.

Beliau pernah ke China, Jepun, India, Turki, Sepanyol, Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan lain-lain cuma atas dasar menyebarkan seni Melayu melalui Ghazal. Sebagaimana didalam post-post yang lalu, Arwah juga telah masuk keseluruh Istana-istana di Malaysia bagi meraikan majlis-majlis yang dianjurkan. Bayaran bukan faktor utama. Pernah ditanya semasa sessi temuramah TV3 berkaitan royalti dan cetak rompak, apa yang beliau katakan, sekiranya beliau terlalu berkeras dengan penyebaran cetak rompak mungkin musik beliau tidak dapat didengar oleh orang ramai dan orang kebanyakan memandangkan orang-orang kampung tidak mampu membeli kaset-kaset pada ketika itu yang agak mahal. Lebih beliau Halalkan saja.

Apa perlu kita fikirkan? Bahawa bagi menyebarkan musik Ghazal amat sukar disebabkan masyarakat kita sendiri tidak ada rasa hormat terhadapnya. Media-media elektronik mahupun cetak langsung tidak memainkan peranannya membudayakan seni yang unik ini. Salah siapa? Ahli politik juga langsung tidak mengendahkannya. Malahan ahli politik dari Johor sendiri tidak kisah dengan senario ini. Bagi mengambil hati orang muda belia maka mereka juga terikut-ikut dengan budaya belia ini, tetapi dalam masa yang sama mereka inginkan jati diri melayu diserapkan. Mana mungkin ini akan terjadi, budaya barat diserapkan pada generasi ini, maka baratlah yang akan menempahkan budaya mereka. Bercakap pasal secara holistik, tetapi perlaksanaan tidak.

Seni budaya melayu Johor perlu ditingkatkan dengan penglibatan semua anak jati warga Johor sendiri. Kenapa Dikir Barat boleh dikekalkan bukan saja di Kelantan malahan di Lembah Kelang sendiri budaya ini masih kekal. Fikir-fikirkan lah.