Selasa, 14 Oktober 2008

AHMAD YUSOH DAN GHAZAL


Dulu saya ada ceritakan sedikit sebanyak tentang Ghazal. Kalau kita bercerita tentang musik unik ni pasti tidak terlepas dengan nama Lagenda Ghazal, Allahyarham Hj Mohamed@Ahmad Yusoh atau lebih dikenali dengan nama Pak Mat Yusoh atau nama komersial Ahmad Yusoh.

Ahmad Yusoh dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Kelantan, Muar, Johor pada tanggal awal 1930an. Tarikh yang tepat orang dulu-dulu tidak dapat disebabkan faktor pendaftaran kad pengenalan yang tidak secanggih atau semudah sekarang. Biasanya ia akan berkaitan dengan faktor bila nak bersekolah barulah faktor nama dan pendaftaran jadi penting. Maka timbullah tarikh dan tahun yang tidak tepat kerana tiada siapa yang benar-benar ingat. Almaklumlah dengan penjajahan, perang dan lain-lain.

Kampung Kelantan dinamakan atas sebab ramainya penduduk di kampung ini berasal dari negeri Kelantan. Mereka ini berhijrah semasa penjajahan dimana serba sedikit berkaitan penjajah mencari keturunan Tok Janggut, Tok Jambul dan konco-konconya. Dalam pelarian tersebut ada yang bermukim disini. Fakta ini harus diselidiki sejarahnya. Mungkin betul?

Ahmad Yusoh adalah anak sulung kepada Yusoh Bin Taib dan Fatimah Binti Wan Ali. Mereka ini boleh dikatakan golongan bangsawan dan terhormat di kampung ini. Ayahnya yang lebih dikenali sebagai Pak Jusoh adalah seorang pawang yang dihormati. Maklumlah ketika itu bermain Petri (musik yang masih digunakan di Kelantan kini bagi berubat dengan penyakit berkaitan semangat) adalah satu medium berubat. Dari situlah minat beliau tumbuh walaupun mendapat tentangan Ayahnya.

Semasa kecil beliau banyak berkawan dengan sepupu-sepupu beliau walaupun beliau agak muda umurnya. Ketapanan dan perwatakan yang baik menyebabkan ramai yang menaruh hati terhadap beliau. Faktor ini yang selalu digunakan rakan-rakan sebaya beliau sekiranya nak mengacau anak-anak dara kampung. Rakan-rakan terapat beliau seperti Pok Su Seman dan Pak Andak adalah rakan sepermainan beliau apabila waktu senggang. Disebabkan beliau agak pandai semasa bersekolah, beliau dihantar ke sekolah Inggeris. Cuma beberapa bulan saja, Jepun menyerang maka terbantutlah persekolah beliau.

Kerana minat dengan musik, Ahmad Yusoh telah merantau ke Singapura, Kuala Lumpur dan Batu Pahat. Ahmad Yusoh pernah belajar musik dengan Pak Lomak, Hamzah Dolmat dan ramai lagi. Disebabkan ini beliau boleh bermain pelbagai peralatan musik, mahupun tradisi ataupun moden. Semasa bertugas dengan Syarikat Penambang Muar, beliau telah menunjukkan kebolehan bermain kesemua peralatan musik dengan cekap dan disinilah terciptanya nama "MatGodak". Bagi orang-orang Johor dan terutamanya orang Muar, GODAK bermakna campur aduk macam rojak. Semuanya boleh. Semuanya campur. Mat adalah nama singkatan beliau kepada Mohamed. Ahmad Yusoh boleh bermain peralatan musik dengan tangan kanan atau kiri tanpa mengubah kedudukan tali peralatan tersebut misalnya gitar, biola, gambus dan lain-lain. Selain kepandaian bermain musik, Ahmad Yusoh juga mempunyai suara yang merdu. nyanyian beliau pasti mendebarkan gadis-gadis yang mendengar. Bayangkan dizaman 40an dan 50an pentas persembahan ada yang roboh disebabkan tolakan dan ketaksuban anak-anak muda-mudi dizaman tersebut. Kalau tak percaya cuba dengar nyanyian beliau terutama lagu-lagu yang terawal seperti Betik Manis, Makan Sireh, Empat Dara, Selat Teberau dan sebagainya.

1 ulasan:

  1. Asslammualaikum Tan.. nama saya Mohd Rozaidy atau Rojer Ghazal.. saya seorang penggiat Ghazal Johor yg telah menetap di Kl, saya juga adalah Naib Pengerusi Persatuan Ghazal Johor Malaysia - Kuala Lumpur (GHAJMAS) seta ketua jawatankuasa hal ehwal dokumentasi dan penulisan di dalam GHAJMAS.. bolehkah Tuan memberi keterangan (nom tel) untuk saya hubungi?

    BalasPadam